23 Januari 2011

Kata Perbilangan Adat Perpatih

Perbilangan adat

Perbilangan adat, banyak pengertian yang ditafsirkan, antaranya teromba, undang-undang yang tetap dan kata-kata adat. Menurut Aripin Said (1996), perbilangan adat adalah sebagai gundalan adat, iaitu ikatan puisi yang menyatakan adat lembaga atau asal usul adat lembaga khususnya terdapat dalam kalangan mereka yang memakai Adat Pepatih. Secara ringkasnya, perbilangan adat merupakan susunan adat dalam bentuk puisi (puisi adat) yang mencerita dan menerangkan sesuatu dan berasal daripada masyarakat Melayu Minangkabau (adat/peraturan). Perbilangan adat ini berasal dan berkembang di daerah Minangkabau dan Palembang yang dikenali sebagai ‘Adat Minangkabau’.

Di Malaysia, perbilangan adat ini, banyak diamalkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan, iaitu dipergunakan dalam Adat Pepatih. Seperti puisi lain, perbilangan adat diperturunkan dari mulut ke mulut, dari satu generasi ke satu generasi. Menurut Alwi Salim (1983), perbilangan adat ini diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi melalui ketua-ketua adat lembaga yang disebut ‘Buapak’. Walaupun begitu perbilangan adat ini mengalami perubahan dan kesesuaian mengikut keadaan dan zaman, seperti pada zaman kedatangan Islam, perbilangan adat mengalami penyesuaian dengan ajaran Islam seperti yang dibuktikan oleh perbilangan ini:

Adat bersendi hukum
Hukum bersendi Kitabullah
Kuat adat, tak gaduhkan hukum
Kuat hukum, tak gaduhkan adat
Ikut hukum, muafakat
Ikut adat muafakat.

Berdasarkan perbilangan di atas, dapat dikatakan perbilangan tersebut telah mengalami ciri-ciri keislaman. Walaupun terdapat penyesuaian tetapi ciri-ciri masih dipertahankan. Perbilangan adat ini berbentuk bebas, iaitu menggunakan gurindam, syair, pantun dan lain-lain bentuk puisi dalam penyampaiannya. Menurut Za’ba yang dipetik oleh Aripin Said (1996):

“perbilangan adat merupakan puisi melarat yang tidak tetap timbangan suku kata dan rimanya. Namun ia tetap mempunyai susunan, makna yang kemas dan mendalam”.

Beliau juga memberi contoh-contoh perbilangan adat untuk genre puisi yang digolongkan sebagai ‘gurindam’, antaranya:

Kelebihan nabi dengan mukjjizat
Kelebihan umat dengan muafakat
Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia dengan muafakat
Air melurut dengan bandaraya
Benar melurut dengan muafakatnya. (Za’ba 1962,242)

Manakala Abdullah Siddik, menyebut perbilangan adat sebagai ‘peribahasa adat’, dinyatakan seperti berikut:

Raja menobat di dalam alam
Penghulu menobat di dalam luak
Lembaga menobat di dalam lingkungannya
Orang banyak menobat di dalam teratak. (Abdullah Siddik 1975,110)

Manakala Siti Hawa Haji Salleh (1987), menyatakan perbilangan adat sejenis puisi yang tidak tertentu bentuknya (sama seperti gurindam dan seloka). Manakala Mohd Yusof Md. Nor (1991), telah menyimpulkan ciri-ciri yang terdapat dalam perbilangan adat, antara lain, adalah:

Puisi bebas yang tidak tentu jumlah baris, rangkap, rima atau jumlah perkataan dalam satu baris
Terdapat sisipan berbagai puisi yang lain, misalnya pantun, gurindam, peribahasa dan lain-lain
Isinya memuat hal-hal yang berhubungan dengan undang-undang, adat istiadat yang diamalkan oleh sesuatu kelompok masyarakat.

Perbilangan adat juga mempunyai fungsi kepada masyarakatnya, antaranya ialah untuk membicarakan susun lapis pemerintahan, hubungan keluarga, fungsi dan tugas setiap ahli masyarakat.

Perbilangan adat juga untuk menyatakan bahawa setiap orang berguna dalam satu-satu masyarakat. Kesimpulannya fungsi perbilangan adat terhadap masyarakatnya, ialah:

Memberi panduan/pendidikan
Membentuk /membina masyarakat yang harmoni
Satu cara kawalan sosial - dipersetujui bersama
Mengekalkan satu norma tertentu dlm masyarakat
Mengambarkan corak dan pola hiduop bermasyarakat.
Menggambarkan pola pemikiran masyrakat (kepandaian/kebijaksanaan).

Terdapat berbagai jenis perbilangan adat yang berasaskan sistem sosial Minangkau, menurut Mohd Taib Osman (1975), antaranya ialah:

Metos dan lejenda, iaitu menyatakan asal-usul adat dan alam Minangkabau. Di bawa oleh dua Datuk bersaudara iaitu Datuk Temenggung dan Datuk Pepatih Nan Sebatang, kedatangan “bangau putih” iaitu orang Minangkabau yang merantau ke Negeri Sembilan dan perhubungan mereka dengan “gagak hitam” iaitu orang asli Negeri Sembilan. Adat ini juga disebut “teromba”’ iaitu lagu asal usul.

Kata-kata istiadat, iaitu susunan kata-kata khas untuk istiadat tertentu seperti perlantikan Penghulu, meminang, perkahwinan, pembahagian harta dan sebarang majlis keramaian.

Undang-undang, digunakan dalam menguruskan undang-undang jenayah atau hukum pidana adat yang menyatakan jenis-jenis kesalahan, jenis bukti dan hukuman dan juga undang-undang sivil, mengenai pembahagaian harta dan syarat pembahagian harta dan hak.

Falsafah, sebahagian besar perbilangan adat termasuk dalam kategori falsafah. Ini kerana kata-kata falsafah ini disisipkan ke jenis lain. Segalanya terjalin ke dalam satu sistem intelek yang menjadi asas kepada seluruh adat Minangkabau.

Berkisarkan tentang konsep dan aspek yang diketengahkan dalam perbilangan adat dinyatakan oleh Alwi Salim (1983), antaranya:

Konsep pemerintahan, dalam konsep ini perbilangan adat menyatakan dengan jelas susunan pemerintahan adalah mengikut peringkat-peringkat berikut, iaitu dari peringkat rendah kepada peringkat tertinggi. Ini digambarkan dalam:

Raja menobat di dalam alam
Penghulu menobat di dalam luak
Lembaga menobat di dalam lingkungannya
Ibu bapa menobat pada anak buahnya
Orang banyak menobat di dalam terataknya

Konsep keadilan, perbilangan adat ini tidak didasarkan kepada pembalasan tetapi didasarkan kepada pemulihan (restitution). Diperturunkan kata-kata ini:

Yang mencincang, memapas
Yang membunuh membangunkan
Yang menjual, memberi balas

Aspek ekonomi, kata-kata perbilangan disusun indah dan menunjukkan bahawa kehidupan memerlukan ekonomi yang teguh, didengarkan perbilangan ini:

Majlis di tepi air
Mendesa di perut kenyang

Aspek sosial, masyarakat Adat Pepatih melahirkan perbilangan ini adalah mengikut susunan unilateral-matrilineal. Ia merangkumi pemilihan ketua dalam masyarakat, utamakan nisab sebelah ibu, tanggungjawab, hak, pedoman, pegangan dan juga perpaduan. Ini untuk menunjukkan bahawa masyarakat mempunyai taraf yang sama dan mesti dimuliakan, diperturunkan perbilangan ini:

Yang buta penghembus lesung
Yang pekak pelepas bedil
Yang lumpuh penghuni rumah
Yang kuat pembawa beban
Yang bingung disuruh-suruh
Yang cerdik lawan berunding

Aspek adat istiadat, banyak menjurus kepada adat berumahtangga, iaitu dari pertunangan, perkahwinan, penceraian sehingga kepada pembahagian harta.

Sistem kewarisan, dalam sistem ini perbilangan adat digunakan untuk pembahagian harta pusaka. Yang mana Buapak dan Datuk Lembaga bertindak sebagai pemegang kuasa. Mengikut Adat Perpatih harta pusaka diperturunkan kepada anak perempuan sahaja dan tanah pusaka tidak dibenarkan dijual atau digadai.

Sebagai kesimpulannya, perbilangan adat dapat dikatakan sebagai bentuk puisi klasik yang juga intim dengan kehidupan masyarakat melayu lama. Sehingga kini perbilangan adat ini masih digunakan oleh kelompok masyarakat yang mengamalkan tatacara Adat Perpatih.

12 Suku Adat Perpatih

Dalam amalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan, setiap orang ada suku masing-masing. Suku ini dinamakan menurut nama asal kampung nenek moyang masing-masing di tanah Minangkabau. Kesemuanya ada 12 suku iaitu: (1) Tanah Datar, (2) Batu Hampar, (3) Seri Lemak Pahang,(4)Seri Lemak Minangkabau,(5)Mungka,(6)Payakumbuh,(7)Seri Melenggang,(8)Tigo Batu,(9)Tigo Nenek,(10)Anak Aceh,(11)Batu Belang.

Suku Biduanda adalah berasal daripada suku orang asli yang sedia ada di Negeri Sembilan ketika itu iaitu Semang, Sakai dan Jakun yang kemudiannya berkahwin dengan orang-orang Minangkabau. Anak daripada perkahwinan inilah yang membentuk suku Biduanda. Suku Biduanda adalah suku yang layak menjawat jawatan Undang atau Penghulu dalam luak-luak Adat Perpatih. Suku Anak Acheh pula bukan berasal daripada nama kampung di Minangkabau tetapi dipercayai diberi nama menghormati seorang pemimpin agama yang berasal dari Acheh.

Himpunan keunikan amalan adat Perpatih

Himpunan keunikan amalan adat Perpatih


PEPATAH `biar mati anak, jangan mati adat' cukup sinonim dengan budaya masyarakat pengamal adat Perpatih di Negeri Sembilan. Malah adat yang datang ke negeri ini sejak abad ke-15 dari Minangkabau secara bergelombang, mula terasa bahang empayarnya selepas abad ke-17.

Penghijrah Minangkabau yang pada awalnya memilih untuk menetap di kawasan pedalaman berikutan suasana alam yang sama di Negeri Sembilan, turut melabuhkan noktah di situ selepas cuba bersembunyi daripada serangan lanun pantai.

Selepas itu, dengan termeterainya satu perjanjian bersama atau loghat Negeri Sembilan - pepauh antara Datuk Perpatih Pinang Nan Sebatang dengan Datuk Ketemenggongan, maka satu perdamaian tercetus di mana kawasan laut diserahkan kepada Datuk Ketemenggongan, manakala kawasan darat dipunyai oleh Datuk Perpatih.

Maka sehingga hari ini, suasana itu terbukti apabila daerah Port Dickson bukan merupakan pengamal adat Perpatih, sementara daerah seperti Rembau, Jelebu dan Kuala Pilah dinobat sebagai antara pengikut kuat kepada adat ini.

Inilah antara keunikan adat Perpatih yang cuba ditonjolkan pada Pesta Persukuan Adat Perpatih 2001 yang berlangsung pada 5 hingga 7 Mei ini di Dewan Baru Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Persoalannya, sejauh mana masyarakat negara ini memahami tentang adat Perpatih?

Adat Perpatih merupakan suatu peraturan hidup yang sistematik dengan berteraskan keharmonian hidup masyarakat yang diamalkan oleh orang Negeri Sembilan dan Naning di Melaka.

Sebagai satu cara hidup, adat Perpatih mempunyai peraturan asas yang tidak boleh diubah langsung.

Perkara asas itu termasuklah hidup bersuku, mengira keturunan daripada nasab ibu, perwarisan tanah pusaka dan lain-lain lagi.

Sistem sosial tersebut mengandungi sistem nilai, sistem kekeluargaan, sistem politik dan sistem hukum adat yang lengkap.

Oleh yang demikian, sistem adat Perpatih terdapat sistem perut dan suku. `Perut' adalah unit terkecil di dalam sistem adat Perpatih dan beberapa `Perut' lain akan membentuk `Suku'. Tiap-tiap `Perut' akan diikuti seorang `Buapak', sementara setiap `Suku' diketuai oleh seorang `Lembaga'.

Selain itu dalam sistem politik adat Perpatih terdapat juga jawatan Undang yang menerajui Luak.

Satu lagi keunikan yang cuba ditonjolkan pada pesta berkenaan ialah kehebatan sistem harta pusaka di mana barang peninggalan itu dianggap pusaka seperti rumah, tanah, barang kemas dan lain-lain yang hanya boleh diwarisi oleh anak perempuan sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Kecil Seminar, Pameran dan Bahasa Bicara, Ismail Abdul Hadi berkata, sempena pesta tiga hari itu, satu seminar berkaitan adat Perpatih akan diadakan pada hari ini (Jumaat), yang mana antara lain membincangkan dengan panjang lebar berhubung adat Perpatih.

Menurutnya, seminar itu akan dihadiri kira-kira 500 peserta yang terdiri daripada Datuk Lembaga, Buapak, Besar Waris, Ibu Soko, guru dan pelajar.

Dalam pertemuan itu nanti pembicara, Datuk Penghulu Simulie dari Minangkabau, H. Kamardi Rais cuba membawa pengamatan terhadap adat perkahwinan melalui adat Perpatih secara holistik.

Di samping itu juga, seorang bekas Profesor Madya dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Norhalim Ibrahim yang banyak mengkaji sejarah adat di Negeri Sembilan akan meleraikan tugasan dan peranan Buapak, Semenda, Tempat Semenda, Waris Soko dalam masyarakat adat.

Di Negeri Sembilan terdapat 12 suku di mana sembilan datang dari Minangkabau iaitu Paya Kumbuh, Seri Lemak, Mungkal, Tanah Datar, Batu Belang, Tiga Batu, Tiga Nenek, Seri Melenggeng dan Batu Hampar, sementara selebihnya satu dari Anak Acheh dan dua lagi dari Anak Melaka.

Sementara itu, pada seminar dan Pesta Persukuan Adat Perpatih ini juga, perkisahan sosiobudaya Negeri Sembilan akan ditonjolkan menerusi masakan, minuman, budaya, tarian dan alatan permainan tradisional. Antaranya termasuklah masakan lemak cili api, nyanyian lagu Bongai (bermaksud seorang yang dihormati dan dikasihi) dan tarian lagu Chaklempong serta Tumbuk Kalang.

Sebuah buku bertajuk Setitis Tinta Abadi yang bahannya merupakan pengumpulan skrip Pesta Adat Perpatih sejak dua tahun lalu akan dilancarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Buku berkenaan ditulis oleh Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Ismail Abdul Hadi, Setiausaha Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Negeri Sembilan, Mohammad Tainu dan Datuk Lembaga Luak Ulu Muar, Datuk Khalid Bonget.

Anak Negeri Sembilan, khususnya dan pengkaji sejarah adat Perpatih juga akan cuba dibawa ke zaman silam dengan menyaksikan pameran purba yang memperlihatkan peralatan seperti lokar (almari), gopong (bekas air), kongkong (dapur), beliung, pelurut (alat melerai mengkuang) dan sebagainya. Pesta Persukuan Adat Perpatih memberikan keunikan kepada pengamalnya serta ketakjuban kepada yang melihatnya.